|
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang sedang berlangsung sehingga 29 April ini di Terengganu menjadi medan untuk Pernec Corporation Bhd. (Pernec) menggilap bakat-bakat baru usahawan Bumiputera.
Pengarah Urusannya, Shaharom Md. Shariff berkata, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti bagi usahawan yang berminat mengenai industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain mempamerkan produk keluaran Pernec bertaraf antarabangsa.
“Aktiviti yang dianjurkan itu diharap menarik minat orang ramai untuk menceburi perniagaan ICT yang berpotensi untuk menjana perolehan yang besar di masa akan datang terutama semasa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
“Pada MSAM yang diadakan di Pantai Batu Buruk, Terengganu kali ini juga, kami buat pertama kalinya menonjol produk perkhidmatan seperti sistem pengurusan dokumen dan telefon bayar,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Pernec, penyedia penyelesaian ICT yang memulakan operasi pada tahun 1973 dan memiliki 1,000 kakitangan di kilang operasi di Tikam Batu, Kedah Darul Aman pada masa ini dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 70 peratus kepentingan dan selebihnya oleh NEC Corporation dari Jepun.
Antara pelanggan terbesar Pernec di peringkat tempatan pada masa ini ialah Telekom Malaysia Bhd. (TM), Bank Islam Malaysia Bhd., Maxis Communications Bhd., Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd serta Perbadanan Putrajaya.
Shaharom berkata, pihaknya juga menjadi rakan teknologi MSAM kali ini dengan membangun serta menyokong infrastruktur yang diperlukan untuk mengadakan aktiviti yang melibatkan orang ramai antaranya pendaftaran elektronik dan kuiz pelaburan.
MSAM 2006 kali ini juga akan disertai oleh empat daripada lapan anak syarikat Pernec yang akan mempamerkan kesemua produk teknologi terkini keluaran masing-masing, jelasnya. |